Friday, July 23, 2010

indahnya pekerti mu YA RASULULLAH~

Alhamdulilllah, akhirnya saya berpeluang meng`update’ blog ini setelah hampir sebulan oleh kerana kesibukan menuntut ilmu demi mencari redha Ilahi. Apalah sangat kita jika dibandingkan dengan Baginda Nabi SAW yang berdakwah dan berjuang siang dan malam tanpa mengenal erti lelah dan putus asa. Baginda bukan sahaja menyeru manusia menyembah Allah yang Esa tetapi Baginda juga adalah seorang yang sentiasa berbuat kebaktian kepada manusia.

Dalam kesempatan ini saya ingin menukilkan sebuah bukti sejarah yang menunjukkan kehebatan Nabi SAW dalam memberi bantuan kepada orang yang memerlukan.

Dari al-Munzir bin Jarir,dari bapanya r.a, katanya: “semasa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w. pada waktu tengah hari (di Masjid Nabi), tiba2 datang satu rombongan ( dari kaum Arab, suku Mudhar yang sangat2 miskin) dengan berkaki ayam dan berpakaian compang-camping, berubahlah air muka Rasulullah kerana melihat penderitaan mereka. Lalu Baginda masuk (kerumahnya) kemudian keluar semula,lalu menyuruh Bilal azan. Bilal pun azan dan iqamat, lalu Baginda (bersama jemaah) mengerjakan sembahyang (Zuhur). Selepas sembahyang, Baginda (bangun) berucap (menggalakkan umatnya bersedekah kepada orang2 yang memerlukan bantuan). Baginda memulakan ucapannya dengan ayat al-Quran yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia , bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam)…..” hingga akhir ayat.

Nabi SAW terus membacakan lagi sebahagian dari (ayat 18), surah al-Hasyr yang bermaksud: “Wahai orang2 yang beriman), bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah dia sediakan dari(amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat)……”

(Rawi hadith ini berkata: Mereka pun bersedekah), ada yang memberi dari wang dinarnya, dari wang dirhamnya, dari pakaiannya,dari segantang gandumnya, dari segantang buah kurmanya, sehingga Baginda bersabda: (Bersedekahlah) walau dengan sebiji buah kurma kamu sekalipun.”

Katanya lagi; “Tiba2 datang seorang lelaki dari kaum Ansar membawa satu bungkusan besar dan berat, hampir2 tapak tangannya lemah menatangnya, bahkan tidak dapat menatangnya” Setelah itu ramai pun dating berduyun-duyun (membawa sedekah, masing2 menurut kemampuannya), sehingga aku melihat bertimbun dua longgok dari makanan dan pakaian. Pada saat itu aku melihat wajah Rasulullah berseri-seri seperti benda indah yang keemasan ( kerana gembira) lalu Baginda SAW bersabda: “Barang siapa membuat satu rancangan yang baik dalam Islam maka ia akan mendapat pahala rancangannya itu dan pahala orang2 yang mengerjakannya sesudah ia memulakannya, dengan tidak mengurangkan pahala orang2 yang mengerjakannya sedikit pun.”

“Dan barang siapa yang membuat satu rancangan yang jahat dalam Islam maka ia akan menanggung dosanya dan dosa orang2 yang melakukannya sesudah ia melakukannya, dengan tidak mengurangkan dosa orang2 yang melakukannya sedikitpun.”

( Hadith sahih – Riwayat Muslim)

Khulasoh: Menunjukkan kepada kita bahawa Nabi SAW sangat mengambil berat tentang kesusahan orang lain malah turut mengajak sahabat lain membantu meringankan beban manusia lain. Nabi Muhammad SAW merupakan contoh teladan yang terbaik yang wajar kita contohi.

p/s : Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan `Selamat Hari Jadi' kepada sesiapa sahaja yang bakal menyambut hari kelahiran mareka pada bulan Ogos yang bakal menjelang tiba. Kuatkan semangatmu dalam menempuh apa jua cabaran dan jangan cepat berputus asa dalam melakukan sesuatu perkara. Ingatlah Allah sentiasa bersama-sama hambanya yang sabar.;)

nukilan msz™..DQ..